Qawa'id adalah jamak kepada perkataan kaedah. Ia bermaksud asas atau prinsip. Sesuai dengan maksudnya dari sudut bahasa, qawa'id fiqhiyyah atau kaedah fiqh adalah merupakan prinsip-prinsip fiqh bersifat umum yang mengandungi hukum-hakam secara umum untuk disesuaikan dengan bahagian-bahagiannya.Kemunculan kaedah fiqh banyak dipengaruhi oleh faktor tuntutan semasa. Ia muncul setelah jarak masa para ulama semakin jauh dari generasi terawal iaitu para salafussoleh.
Ini banyak mempengaruhi penetapan hukum dalam sejarah pensyariatan dan kepatuhan syariah dalam dunia umat Islam. Penetapan hukum dalam Islam telah melalui beberapa peringkat. Peringkat yang pertama adalah pada zaman Rasulullah SAW. Pada zaman ini, penetapan hukum dilaksanakan melalui wahyu Allah SWT secara langsung iaitu al-Quran atau melalui hadis Nabi. Para sahabat tidak berhadapan dengan kesukaran untuk mengetahui hukum pada peringkat ini kerana kesemua permasalahan yang berlaku boleh dirujuk terus kepada Rasulullah.
Bagi sahabat-sahabat yang tinggal agak jauh daripada Madinah, Rasulullah mengutuskan sahabat-sahabat yang layak berijtihad. Sebagai contoh, bagaimana dapat dilihat melalui perakuan Baginda kepada ijtihad yang dilakukan oleh para sahabat r.a dalam hadis-hadis berikut: Satu Hadis yang diriwayatkan daripada sahabat Nabi SAW iaitu Muadz ibnu Jabal ketika diutus ke Yaman.Dari Muadz ibnu Jabal r.a bahawa Nabi SAW ketika mengutusnya ke Yaman,
Nabi bertanya: Bagaimana kamu jika dihadapkan permasalahan hukum? Ia berkata: "Saya berhukum dengan kitab Allah". Nabi berkata: "Jika tidak terdapat dalam kitab Allah?" Dia berkata: "Saya berhukum dengan sunnah Rasulullah SAW".
Nabi berkata: "Jika tidak terdapat dalam sunnah Rasul SAW?" Dia berkata: "Saya akan berijtihad dan tidak berlebih (dalam ijtihad)". Maka Rasul memukul ke dada Muadz dan berkata: "Segala puji bagi Allah yang telah sepakat dengan utusannya (Muadz) dengan apa yang diredai Rasulullah SAW," (riwayat At-Thabrani).
Demikian juga ia didasari dengan hadis berikut: Maksudnya: "Terdapat dua orang sahabat yang keluar musafir bersama-sama. Ketika dalam perjalanan, datanglah waktu solat, namun mereka tidak memperolehi air untuk berwuduk.Mereka lalu bertayammum dengan tanah yang suci, lalu solat. Setelah selesai solat, tiba-tiba mereka mendapati air, sedangkan waktu solat masih ada. Salah seorang daripada mereka berwuduk lalu mengulangi solatnya, sedangkan seorang lagi tidak mengulangi solatnya. Setelah pulang, mereka bertemu dan menceritakan kepada Rasulullah kejadian yang mereka alami. Rasulullah berkata kepada yang tidak mengulangi solatnya: "Kamu telah mengikuti sunnah dan solat yang kamu lakukan telah cukup bagimu."
Sedangkan kepada yang mengulangi wuduk dan solatnya beliau berkata: "Kamu mendapat dua pahala". (riwayat Abu Daud dan an-Nasaie)Hadis-hadis ini membuktikan bahawa umat Islam dibenarkan melakukan ijtihad khususnya dalam keadaan tidak mempunyai rujukan yang jelas dalam al-Quran dan sunnah.
Allah Tuhanku,Rasulullah Teladanku~